mutakhir

10 mat rempit ditahan

Oleh Siraj Mohd Zaini

SEPULUH mat rempit berusia antara 18 hingga 27 tahun ditahan polis kerana berlumba dan melakukan pelbagai aksi berbahaya dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya KESAS, hari ini.

Operasi dilakukan mulai 12.30 tengah malam sehingga 7 pagi itu di sepanjang lebuh raya berkenaan bermula dari susur keluar Klang/Bukit Tinggi sehingga ke Plaza Tol Bukit Kemuning.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Kamaludin Mohamad berkata, lokasi itu menjadi tumpuan kerana sering kali dijadikan tempat berlumba golongan berkenaan pada malam minggu.

Katanya, seramai 114 orang membabitkan 107 motosikal diperiksa pada operasi berkenaan.

"Sebanyak 148 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai topi keledar dan lain-lain.

"Sebanyak 59 motosikal juga disita dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, 10 mat rempit itu ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara berbahaya.

Disiarkan pada: July 23, 2017 @ 11:55am
d