mutakhir

Enam insentif untuk peneroka

Oleh Hayati Ibrahim dan Siti A'isyah Sukaimi

INSENTIF khas peneroka sebanyak RM5,000 akan diberikan kepada 94,956 keluarga yang layak dan bayaran itu dibuat hujung Ogos antara enam insentif diumum Perdana Menteri pada Hari Peneroka FELDA peringkat Kebangsaan 2017 di Dataran Putrajaya, hari ini.

Datuk Seri Najib Razak berkata, bayaran insentif khas akan membabitkan peruntukan sebanyak RM474.78 juta.

Beliau berkata, insentif lain termasuk pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 setiap keluarga yang memilih untuk tanam semula melalui FELDA dengan peruntukan sebanyak RM519 juta.

"Selain itu, kita juga akan memberi kelulusan untuk membina lebih satu unit rumah dalam satu tapak. Sehingga kini, terdapat 4,711 peneroka mempunyai dua rumah dalam satu tapak manakala 70,506 tapak lagi dipercayai sesuai dilaksanakan mengikut kaedah ini.

"Insentif keempat pula adalah dana khas pelupusan lebihan hutang tanam semula bernilai RM300 juta akan diwujudkan bagi tempoh lima tahun bermula 2017 hingga 2021 bagi melupuskan hutang kos operasi melebihi jangkaan RM40,000," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka FELDA peringkat Kebangsaan 2017 di Dataran Putrajaya hari ini.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Perdana Datuk Razali Ibrahim dan Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Najib berkata, jika hutang kos operasi tanam semula adalah RM60,000, sebanyak RM20,000 akan dilupuskan menggunakan peruntukan dana khas ini, menerusi penilaian berdasarkan permohonan yang dihantar dan diluluskan oleh jawatankuasa di peringkat FELDA.

Selain itu, katanya, selari dengan usaha tadbir urus dan integriti yang lebih mantap, pinjaman saham FGV yang sedang dibayar oleh 77,934 akan dilupuskan bakinya dengan kadar ringgit ke ringgit.

Katanya, seramai 1,626 peneroka yang sudah habis bayar akan menerima ganjaran tunai RM1,820 membabitkan peruntukan keseluruhan RM128.10 juta.

"Bagi peneroka yang tidak pernah membuat sebarang pinjaman saham FGV kepada FELDA tidak akan menerima insentif ini.

"Insentif terakhir adalah geran khas tanam semula peneroka diluluskan oleh Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) dengan FELDA dengan kadar RM7,500 ringgit per hektar akan diwujudkan bagi program tan semula FELDA bermula 2017 hingga 2020.

"Ini membabitkan tanah berkeluasan 24,280.31 hektar dengan peruntukan RM166.60 juta untuk empat tahun itu,” katanya.

Kira-kira 50,000 pengunjung dianggarkan hadir pada sambutan yang julung kali diadakan di Putrajaya dengan 25,000 daripadanya adalah peneroka dari 11 wilayah di seluruh

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Keceriaan Kampung FELDA (AKKF) yang menawarkan hadiah wang tunai RM1 juta.

Anugerah lain yang turut disampaikan termasuk Anugerah Masjid Terbaik serta Tokoh Imam.

Disiarkan pada: July 23, 2017 @ 1:36pm
d