mutakhir

Perarakan Kebudayaan Ipoh catat rekod

Oleh Balqis Jazimah Zahari

PERARAKAN Kebudayaan Ipoh 2017 yang berlangsung di Ipoh, hari ini, diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai perarakan kebudayaan terbesar dari segi penyertaan.

Program anjuran kerajaan negeri melalui Tourism Perak dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Perak (PCCI) itu membabitkan 55 kumpulan dengan seramai lebih 2,000 peserta dan 120 kenderaan berhias berarak di laluan sejauh 2.8 kilometer di sekitar bandar raya Ipoh.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hadir menyaksikan perarakan itu dan kemudian menerima sijil MBOR yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Operasinya, Christopher Wong di pentas utama di perkarangan Dewan Bandaran.

Perarakan disaksikan lebih 10,000 pengunjung itu diadakan bersempena Tahun Melawat Perak 2017.

Program bermula seawal 7.30 pagi bermula dengan Zambry memandu kereta antik mengetuai konvoi orang kenamaan ke pentas utama.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man dan Presiden PCCCI, Datuk Liew Sew Yee.

Antara kumpulan perarakan yang menarik perhatian pengunjung adalah persembahan seni pertahanan diri dari Persatuan Wushu Perak, Persatuan Silat Kebangsaan Perak dan Persatuan Silambam Malaysia Perak.

Disiarkan pada: July 23, 2017 @ 3:48pm
d