mutakhir

6,456 'haji cilik' catat rekod MBR [METROTV]

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SERAMAI 519 kanak-kanak tadika berusia lima hingga enam tahun dari Kelantan dan Terengganu menyertai Program 'Little Haj', Simulasi Ibadat Haji 2017 di Kompleks Belia dan Sukan Panji, Kota Bharu hari ini.

Pengarah Program Haji Cilik Pantai Timur Nik Annuar Fathi Nik Hassan berkata, program bermula jam 8.30 pagi ini diadakan serentak di seluruh Semenanjung Malaysia membabitkan 6,456 kanak-kanak berusia antara lima hingga enam tahun Tadika Little Caliphs untuk mencatat nama dalam Malaysia Book of Records sebagai penyertaan serentak terbesar oleh kanak-kanak untuk simulasi ibadat haji.

Katanya, objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan praktikal dan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak ini merasai pengalaman menunaikan Rukun Islam kelima.

"Peserta didedahkan dengan pengalaman sebenar iaitu sebelum dan semasa mengerjakan haji supaya mereka memahami konsep sebenar Rukun Islam kelima ini. Kita turut menyediakan replika Kaabah, kaunter imigresen, tempat wukuf, Bukit Safa dan Marwah serta kawasan bertahallul.

"Semua peserta memakai ihram dan menjalankan ibadat tawaf, berwukuf, mengutip batu dan melontar jamrah," katanya.

Program dirasmikan Penolong Pengarah Pengurusan Pengembangan Syiar Islam, Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri, Ahmad Riduwan Said.

Disiarkan pada: July 24, 2017 @ 1:53pm
d