mutakhir

Serbu 2 kawasan pencerobohan tanah

Oleh Adnan Ibrahim

PEJABAT Tanah Daerah (PTD) Kluang, Johor melakukan dua serbuan ke kawasan pencerobohan tanah kerajaan di Mukim Renggam sekaligus menahan tujuh individu, hari ini.

Pentadbir Tanah Daerah (PTD) Kluang, Mustaffa Kamal Shamsudin berkata, 30 anggota penguat kuasa PTD dan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) terbabit dalam serbuan bermula 8 pagi dan berakhir pada 1 tengah hari itu.

Katanya, selain menahan tujuh lelaki berusia 30 hingga 45 tahun, dua jentera dipercayai digunakan untuk penerokaan haram itu turut dirampas sebagai bahan bukti pendakwaan.

Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 (Pindaan September 2016) dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau lima tahun penjara.

“Lokasi pertama pencerobohan adalah di Lot PTD 5158 membabitkan tanah seluas kira-kira 20 hektar oleh syarikat dari Batu Pahat dan penerokaan dilakukan untuk tanaman kelapa sawit.

“Lokasi kedua pencerobohan dan penerokaan secara haram yang berjaya dikesan adalah di Lot PTD 9779 seluas lima hektar di Mukim Renggam namun kali ini ia diteroka oleh orang perseorangan," katanya kepada pemberita di pejabatnya, hari ini.

Disiarkan pada: July 24, 2017 @ 5:35pm
d