mutakhir

Nelayan terjatuh laut ditemui lemas

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

NELAYAN yang hilang selepas keluar memukat di laut pagi semalam, ditemui lemas 5.30 petang hari ini di perairan Kuala Kedah.

Mayat Mohd Naim Hassan, 21, ditemui oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR), kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian dan 2.7 batu nautika dari Kuala Kedah.

Pengarah APMM Pangkalan Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, mayat itu kemudiannya dibawa ke Jeti Feri Kuala Kedah dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Katanya, seramai 41 anggota terbabit operasi SAR termasuk 26 pegawai dan anggota bomba, 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan lima anggota APMM.

"Operasi SAR ditamatkan pada 6.15 petang hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, mangsa dan rakannya Mohd Nizar Sawai, 31, sedang memukat di perairan berhampiran Kampung Sungai 2, dekat Alor Janggus dan secara tiba-tiba terjatuh ke laut akibat bot dibadai ombak.

Disiarkan pada: July 24, 2017 @ 8:36pm
d