mutakhir

Dulu naik kapal, kini pesawat [METROTV]

Oleh Mohd Hanafis Abd Haris

BERPELUANG menunaikan haji tiga kali menaiki tiga jenis kenderaan berbeza menjadi pengalaman paling berharga buat jemaah haji Muhtar Osmin, 68.

Pertama kali dia menempuh perjalanan ke Tanah Suci menggunakan kapal laut pada usia 19 tahun.

Dia kemudian menunaikan haji kali kedua pada usia 29 tahun dan ketika itu bas menjadi pengangkutan utamanya berikutan dia berada di Baghdad atas urusan peribadi.

Bagi tahun ini dia sekali lagi dipilih menjadi tetamu Allah SWT dan kini menaiki pesawat penerbangan.

Muhtar yang berasal dari Sabak Bernam berkata, menempuh perjalanan menaiki kapal laut adalah kenangan paling tidak dapat dilupakan hingga hari ini ini kerana cabarannya lebih besar berbanding pengangkutan lain.

Menurutnya, jemaah ketika itu perlu menyesuaikan diri dengan keadaan di atas kapal kerana tiada kelibat daratan akan dilihat sepanjang pelayaran.

“Tempoh perjalanan pula bergantung pada kelajuan kapal, tidak kurangnya terpaksa menempuh selama dua minggu.

“Namun cabaran ketika itu adalah sejauh mana badan mampu bertahan dalam kapal. Badan selalunya cepat letih, malah mental juga kena kuat kita tidak akan nampak darat sepanjang perjalanan. Hanya laut saja pemandangan kami ketika itu,” katanya.

Menurutnya, dia di sebalik dugaan terbabit, dia bersyukur kerana diberi peluang merasai ketiga-tiga pengangkutan itu dalam menuju ke Tanah Suci.

“Tahun ini saya berpeluang naik kapal terbang pula. Malah Tuhan beri saya rezeki untuk sama-sama menunaikan haji bersama isteri tercinta, Siti Masamah Abd Salam, 52 dan tiga lagi saudara kami,” katanya.

“Apa lagi yang mampu saya ungkapkan selain memanjat doa dan bersyukur kerana pada usia sebegini masih diberi peluang untuk melihat dan tawaf di Kaabah,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, di Petaling Jaya, hari ini.

Disiarkan pada: July 24, 2017 @ 10:59pm
d