mutakhir

PM gesa Israel beri akses umat Islam ke Masjid al-Aqsa

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, kerajaan Israel perlu memberi akses tanpa sekatan kepada umat Islam untuk ke Masjid al-Aqsa.

Beliau yang turut melahirkan rasa simpati dengan nasib menimpa rakyat Palestin berharap semoga Allah melindungi mereka.

“Saya bersimpati dengan nasib rakyat Palestin yang ditindas, dinafikan hak mereka, dikenakan pelbagai sekatan dan kekerasan oleh pasukan keselamatan Israel.

“Kerajaan Israel perlu memberi akses tanpa sekatan kepada umat Islam untuk ke Masjid al-Aqsa. Semoga Allah melindungi rakyat Palestin dalam ketegangan ini,” katanya melalui Twitter rasmi beliau, semalam.

Menurut laporan media, pada 14 Julai lalu, rejim Israel membatalkan solat Jumaat dan mengharamkan umat Islam daripada memasuki Masjid al-Aqsa berikutan tiga anggota polisnya ditembak berhampiran kawasan berkenaan.

Polis Israel membuka semula masjid itu dua hari kemudian, namun umat Islam enggan memasukinya kerana langkah keselamatan baru dipasang di situ, termasuk pengesan logam dan kamera.

Konflik berkenaan dilaporkan terus tegang dan situasi itu antara yang paling serius berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menteri Luar Liga Arab akan mengadakan mesyuarat tergempar di Kaherah esok untuk membincangkan perkembangan di Baitulmaqdis itu.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 5:19am
d