mutakhir

Lima hari lupa tugas hakiki

Oleh Garret Dawum

Kuala Lumpur: Demi niat murni untuk mengkhatan kanak-kanak Islam di Kemboja, pensyarah Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) Dr Mohamad Salleh Abdul Aziz, 41, sanggup melupakan tugas selama lima hari untuk berada di negara berkenaan sempena Kembara Amal Sunathon.

Kunjungannya bersama kira-kira 40 doktor, pakar perubatan dan paramedik dari Persatuan Pasca Siswazah Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (PGMES HSNZ) Terengganu di empat daerah di ibu negara Kemboja iaitu Phnom Penh baru-baru ini memberi seribu makna kepada persatuan itu.

“Kedaifan masyarakat Islam di negara itu menarik simpati kami untuk menabur bakti dan memberi perkhidmatan berkhatan serta perubatan secara percuma kepada anak-anak Islam yang miskin.

“Walaupun penduduk Islam di sana adalah golongan minoriti, mereka tekun dan patuh melakukan amalan agama,” katanya kepada Harian Metro.

Menariknya, kata Dr Mohamad Salleh, ketika melakukan proses berkhatan, pasukannya menggunakan alat berkhatan yang dikenali sebagai
solehring yang diciptanya sendiri sejak tahun lalu.

Katanya, penggunaan peranti itu adalah mudah, selamat dan bersih dalam era baru dalam kaedah bersunat.

“Tiada lagi ketakutan untuk kanak-kanak ketika mendapatkan khidmat berkhatan di hospital dan klinik. Walaupun hanya membawa 60 unit solehring, seramai 345 kanak-kanak lelaki berusia lima hingga 11 tahun termasuk 88 kanak-kanak perempuan dan empat dewasa berjaya disunat.

“Saya tidak menjangka sambutan yang diberikan itu sangat menggalakkan. Memang sepanjang berada di sini, saya sangat bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang dikecapi Malaysia serta mempunyai kemudahan mencukupi.

“Taraf kehidupan yang tidak seberapa di daerah yang kami jalankan aktiviti ini membuatkan saya ingin ke sini lagi,” katanya.

Sementara itu, katanya, ketika kembara dijalankan, selain berkhatan, pemeriksaan kesihatan secara percuma turut diadakan untuk memberi khidmat nasihat berhubung tahap kesihatan penduduk setempat.

“Kunjungan kali ini adalah yang pertama buat saya, saya perhatikan penduduk termasuk golongan kanak-kanak sudah mula menjaga kebersihan diri biarpun tidak menyeluruh.

“Kita mahu didik mereka supaya lebih mementingkan kebersihan diri dan kawasan sekitar supaya kehidupan mereka lebih selesa serta kesihatan terjamin,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 5:56am
d