mutakhir

Jual telur demi ilmu

Oleh Ayshah Mohd Jamaludin

Nilai: Maahad Tahfiz Sahabat Insani yang terletak di Bandar Baru Nilai, di sini, melakukan kelainan apabila menjual telur ayam dan buku bagi menampung kos pengurusan institusi itu.

Pengerusinya Dr Mohd Huzairi Hussain berkata, pihaknya menjual telur ayam di pekarangan sekolah sejak awal bulan ini.

“Telur ayam gred C dijual pada harga RM6.50 sepapan yang mengandungi 30 biji manakala gred A pada harga RM7.50.

“Ia jauh lebih murah berbanding pasaran iaitu RM9 dan RM12 bagi gred C dan A.

“Pada masa sama, kami menjual buku Amalan Harian Mukmin mengandungi ayat pelindung al-Quran yang dijual pada harga RM10 setiap satu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya kini memiliki 98 pelajar dan memerlukan pendapatan lebih bagi menggerakkan pengajian Islam.

Katanya, semua bekalan telur diperoleh daripada pemborong dan jualan dibuka kepada orang awam pada setiap Jumaat.

“Setakat ini, kami menjual 1,500 papan telur dan hasil diperoleh digunakan bagi menampung pengajian pelajar membabitkan anak yatim,” katanya.

Menurutnya, maahad tahfiz itu baru ditubuhkan tahun lalu.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 6:02am
d