mutakhir

Susu baru percuma

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Goodday terus mengorak langkah dalam menyediakan minuman susu berkualiti kepada orang ramai dengan memperkenalkan dua variasi terbaru iaitu Susu Goodday UHT Madu dan Teh Hijau.

Susu yang pertama kali dilancarkan itu diperkenalkan pada penganjuran Goodday Milk Fest 2017 yang berlangsung hari ini.

Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd Santharuban T Sundaram berkata, sempena program berkenaan pihaknya juga mengadakan promosi menarik dan eksklusif khusus untuk pelanggan setianya.

“Antara yang bakal menanti pengguna adalah peraduan serta tawaran menarik yang membuka berpeluang mencuba semua variasi yang ditawarkan.

“Lebih mengujakan, bermula 25 hingga 28 Julai nanti, 50 orang pengedar susu yang segak berpakaian seragam jenama Susu Goodday akan dilihat memenuhi beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang untuk mengedar sampel Susu Goodday secara percuma kepada orang ramai,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, 100 pelanggan pertama New York Steak Shack bakal menerima rangkaian susu kocak klasik atau premium dan juga satu pek Susu Goodday UHT 250ml secara percuma mulai hari ini.

Sementara itu, bagi pengunjung KK Mart di Semenanjung Malaysia pula, mereka boleh mendapatkan satu pek Susu Goodday UHT 250ml secara percuma dengan setiap pembelian dua pek Susu Goodday UHT 250ml bermula hari ini hingga 27 Julai.

Sempena Goodday Milk Fest 2017 ini juga, akan berlangsung selama tujuh hari bermula 25 hingga 31 Julai, seorang pemenang bertuah akan dipilih setiap hari dengan hadiah berupa kad petrol percuma bernilai RM3,000.

“Untuk menyertai peraduan, peserta hanya perlu membeli dua pek Susu Goodday UHT 250ml dalam satu resit di mana-mana cawangan Kedai Mesra PETRONAS.

“Kemudian, hantar butiran peribadi mereka melalui mesej pesanan ringkas (SMS) dan simpan resit pembelian asal sebagai bukti pembelian,” katanya.

Susu Goodday terus meluaskan empayarnya di negara ini dengan pelbagai variasi, sekali gus mampu mengukuhkan lagi jenama susu berkenaan yang sudah bertapak sejak 50 tahun lalu.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 6:28am
d