mutakhir

Rangkaian IT lebih mantap

Oleh Nasharuddin Muhammad

Bagi memastikan perjalanan operasi haji musim 1438 Hijrah berjalan lancar, Bahagian Teknologi Maklumat (IT) Lembaga Tabung Haji (TH) melaksanakan beberapa penambahbaikan pada tahun ini.

Pengarah Operasi Teknologi Maklumat TH 1438 Hijrah Za’aba Arpan berkata, antara penambahbaikan, buat pertama kali TH menggunakan talian gentian optik di ibu pejabat di Janadriyah, Makkah.

Beliau berkata, pihaknya sudah melakukan ujian simulasi semua aplikasi utama sistem dan infrastruktur IT bagi operasi haji sejak 13 Julai lalu dan ia berjalan lancar.

Menurutnya, pihaknya sudah membuat persiapan operasi haji kali ini sejak awal tahun bagi memastikan semua infrastruktur, talian dan sistem berfungsi dengan baik.

Katanya, berikutan pertambahan bilangan jemaah kepada 30,200 orang pada tahun ini berbanding tahun lalu, pihaknya menjangkakan keperluan berkaitan IT meningkat 35 peratus.

Beliau berkata, bagi menambah baik sistem rangkaian, pihaknya tetap menggunakan khidmat tiga operator telekomunikasi Arab Saudi iaitu STC, Mobily dan Zain.

“Tahun ini kali pertama kami menggunakan talian gentian optik di ibu pejabat TH di Janadriyah.

“Tahun lalu, kami menggunakan talian digital ADSL (Asymmetric Digital Subscriber Line). Hasil ujian dijalankan mendapati ia membantu meningkatkan lagi kualiti keseluruhan rangkaian,” katanya pada sidang media di Pusat Operasi Haji Madinah, semalam.

Menurutnya, tahun ini, 800 peralatan termasuk 70 komputer peribadi (PC) baru, komputer riba dan pencetak akan digunakan bagi menyediakan perkhidmatan sokongan IT kepada pelbagai unit lain, sekali gus melancarkan operasi haji.

Katanya, penambahbaikan yang dilakukan itu membolehkan segala maklumat dan data berkaitan musim haji kali ini dapat dihantar ke ibu pejabat di Kuala Lumpur mengikut masa sebenar (real time).

Za’aba berkata, sistem aplikasi utama yang perlu dipastikan berjalan lancar ialah sistem pengeluaran wang yang kini hanya menggunakan pengesahan 10 cap jari, mengemas kini maklumat dan data haji ke ibu pejabat serta sistem haji secara keseluruhan.

“Cabaran utama di Arab Saudi ialah sambungan Internet terutama menjelang Wukuf di Arafah.

“Kami akan cuba meminimumkan risiko dengan menggunakan khidmat tiga syarikat telekomunikasi Arab Saudi. Bagaimanapun, dalam beberapa tahun lalu, tiada masalah besar yang berlaku.

“Apapun kami akan menguji sistem seminggu sebelum Wukuf bagi memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata, pada musim haji kali ini, pihaknya mempunyai 17 kakitangan iaitu seorang di Jeddah, Madinah (dua) dan baki 14 orang lagi di Makkah.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 6:36am
d