mutakhir

Tersalah nasihat

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini, semalam mengetepikan permohonan semakan keputusan dua pekerja ladang berhubung sabitan dan hukuman penjara 20 tahun yang dikenakan ke atas mereka tujuh tahun lalu atas pertuduhan melupuskan mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

Pesuruhjaya Kehakiman SM Komathy Suppiah memutuskan demikian selepas mendengar hujahan kedua-dua pemohon serta membenarkan bantahan awal dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Abazafree Mohd Abbas.

Pemohon, K Sarawanan, 26, dan U Suresh, 33, memfailkan permohonan notis usul untuk mengkaji semula keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 Februari tahun lalu dengan alasan wujud situasi atau keadaan luar biasa yang melayakkan kes itu dikaji semula.

Malah menurut notis usul itu juga, ada keterangan baru dan ia perlu diambil kira.

Terdahulu, peguam kedua-dua pemohon, Amer Hamzar Arshad dalam hujahannya berkata, pengakuan bersalah kedua-dua anak guamnya itu tidak selamat dan meragukan.

“Pengakuan bersalah mereka di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting dibuat selepas peguam terdahulu tersalah memberi nasihat,” katanya.

Sementara itu, Abazafree berhujah, Mahkamah Tinggi tiada kuasa dalam menyemak keputusannya sendiri.

“Mahkamah ini tiada kuasa menyemak kerana ia tidak ada bidang kuasa seperti mahkamah rayuan.

“Permohonan pemohon didengar sebelum ini,” katanya.

Pada 15 Oktober 2010, Sarawanan dan Suresh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret Teluk Datok selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas empat tuduhan mengangkat, membakar dan membuang abu mayat Sosilawati, 47, pegawai bank Norhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Sarawanan didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang Tanjung Sepat Banting pada 30 Ogos 2010 manakala Suresh didakwa melakukan kesalahan itu di Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting pada tarikh sama.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 6:42am
d