mutakhir

Jaga disiplin, kesihatan

Oleh Nasharuddin Muhammad

JEMAAH haji Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa menjaga disiplin dengan mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan Lembaga Tabung Haji (TH) serta kerajaan Arab Saudi.

Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Zainol Rahim Zainuddin berkata, pada tahun ini, berikutan pertambahan kuota haji seluruh dunia termasuk Malaysia, bilangan jemaah dijangka meningkat kira-kira 20 peratus berbanding musim haji sebelum ini.

Menurutnya, dalam hal itu, jemaah Malaysia perlu sentiasa mendapatkan maklumat terkini yang disampaikan pengurusan TH sepanjang mereka berada di Tanah Suci.

"Disiplin perlu dijaga, begitu juga kesihatan. Minum banyak air. Begitu juga aspek keselamatan," katanya pada sidang media selepas majlis menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah Malaysia seramai 483 orang di Madinah, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Nurinnanuwar Shamsuddin dan Konsul Haji Malaysia di Jeddah Mohammad Saimi Mat Som.

Zainol Rahim berkata, bagi pihak kerajaan, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi khususnya Penjaga Dua Tanah Suci Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang banyak memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia untuk menunaikan ibadat haji dan umrah.

"Begitu juga kepada TH yang banyak membantu menguruskan perjalanan jemaah haji sejak di tanah air hingga sepanjang berada di Tanah Suci, " katanya.

Pada musim haji kali ini, seramai 30,200 jemaah Malaysia akan berangkat secara berperingkat untuk menunaikan Rukun Islam kelima.

Pada 2016, seramai 22,300 jemaah menunaikan ibadat itu.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 12:32pm
d