mutakhir

Polis tahan peragut

Oleh Rosliza Mohamed

TINDAKAN pantas polis berjaya menahan seorang daripada dua suspek yang meragut beg tangan seorang wanita di kedai serbaneka dekat Kubang Kerian, Kota Bharu malam tadi.

Suspek berusia 31 tahun ditahan sejurus kejadian pada 9.30 malam.

Sebelum itu dia dan seorang rakannya yang melarikan diri dipercayai menyamun kedai berkenaan dengan bersenjatakan gunting dan mengambil rokok serta wang tunai lebih RM300.

Pada masa sama, mereka turut meragut beg tangan seorang wanita berusia 23 tahun yang ke kedai itu untuk membeli barang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, seorang daripada suspek yang memakai topi keledar meragut beg tangan mangsa.

"Mangsa mengejar suspek tetapi gagal dan pada masa sama, polis yang ketika itu bertugas di Istana Mahkota Kubang Kerian melihat kejadian dan mengejarnya.

"Orang awam turut sama membantu dan berjaya menahan seorang daripada suspek (yang tidak memakai topi keledar).

"Bagaimanapun seorang lagi sempat melarikan diri bersama beg tangan mangsa yang mengandungi dokumen pengenalan diri dan wang tunai RM40," katanya, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan siasatan awal dapati dia juga mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau.

Usaha mengesan seorang lagi suspek sedang giat dijalankan.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 12:36pm
d