mutakhir

Tiada rombakan JPJ

Oleh Nursyahirah Marzuki

TIADA rombakan secara besar-besaran akan dilakukan terhadap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berikutan dua pegawai kanannya ditukarkan ke jabatan lain berkuat kuasa Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, kekosongan dua jawatan tertinggi pengurusan jabatan berkenaan akan diisi mengikut prosedur biasa yang ditetapkan kerajaan.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Yusoff Ayob dan Pengarah Penguatkuasanya Datuk V Valluvan Veloo ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurut sumber, Yusoff ditukarkan atas alasan mencemarkan nama JPJ dengan menggunakan lorong kecemasan sehingga dikenakan tindakan mahkamah.

Sementara, pertukaran Valluvan yang juga Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) itu dikatakan berpunca daripada pembabitan tiga anggota Pasukan Tindakan Khas (PTK) JPJ yang didakwa memecah masuk ke pejabat Ketua Pengarah JPJ, 13 Julai lalu.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai pergantungan tiga anggota PTK JPJ, Ab Aziz berkata, ketiga-tiga anggota berkenaan kini digantung tugas sehinggasiasatan polis selesai.

"Oleh kerana mereka terbabit dengan jenayah (pecah masuk pejabat Ketua Pengarah) maka sebab itu polis terpaksa ambil tindakan sewajarnya da kita akan tunggu hasil siasatan sebelum mengambil sebarang tindakan.

"Bagaimanapun, kita akan menyerahkan sepenuhnya kepada JPA untuk menentukan tindakan susulan terhadap ketiga-tiga anggota berkenaan," katanya pada sidang media selepas Majlis Penghargaan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kebangsaan di Ibu Pejabat Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Nadzri Siron dan Ketua Pengarah JKJR, Datuk Rosli Isa.

Media sebelum ini melaporkan, tiga pegawai penguat kuasa JPJ disiasat selepas dipercayai terbabit dalam kejadian pecah masuk pejabat Ketua Pengarah JPJ di Presint 4, Putrajaya, 13 Julai lalu.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 5:39pm
d