mutakhir

JCorp tinjau potensi pelaburan baru di Jepun

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

JOHOR Corporation (JCorp) meninjau potensi pelaburan baru dengan bertemu lebih 20 syarikat terkemuka di Jepun, hari ini.

Pertemuan itu dibuat bagi meninjau potensi kerjasama perniagaan selain menarik pelaburan dalam pelbagai sektor pembuatan untuk dibawa ke Johor.

Ia bersempena dengan misi pelaburan JCorp ke negara berkenaan yang diketuai Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

Dalam satu kenyataan media, JCorp memberitahu bahawa pihaknya turut menyertai satu perbincangan meja bulat yang membabitkan syarikat berpotensi dalam lawatan itu bagi membincangkan perkara khusus dalam usaha meyakinkan serta mengenal pasti pelaburan strategik yang berupaya membawa kepada kemajuan ekonomi di Johor.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, pertemuan itu membabitkan beberapa syarikat terkemuka yang dalam perniagaan teras di sektor kejuruteraan plastik, pengkhususan kimia, industri berasaskan polimer, elektrik serta elektronik, minyak dan gas serta kejuruteraan pemesinan.

"Ini sekali gus membolehkan kita mengenal pasti beberapa potensi kerjasama perniagaan dan perlaburan baru serta tambahan untuk dibawa ke dalam kawasan pembangunan industri kita.

"Kita juga ada memberi penerangan kepada mereka mengenai pembangunan ekonomi serta persekitaran iklim pelaburan di Johor dan maklumat berkaitan JCorp supaya mereka mendapat gambaran yang lebih jelas tentang peluang perlaburan serta perniagaan yang boleh diceburi," katanya.

Turut hadir dalam pertemuan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud dan Naib Presiden Perhubungan Bisnes dan Pemasaran Divisyen Pembangunan Industri JCorp, Johari Shukri Jamil.

Kamaruzzaman berkata, beliau gembira dengan sambutan menggalakkan daripada syarikat negara berkenaan yang menunjukkan minat untuk membuat pelaburan di Johor.

"Sambutan yang diterima daripada syarikat berpotensi ini begitu menggalakkan dan ini adalah satu perkembangan positif selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Johor sebagai kuasa ekonomi baru di Malaysia di bawah gagasan Johor Berkemajuan," katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 6:22pm
d