mutakhir

'Ini bukan retorik'

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya : Kerajaan bertegas mengambil tindakan keras terhadap mana-mana pihak yang memberi dan mengambil rasuah selaras dengan usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa ada bayaran lain di luar kaunter atau di bawah meja.

Menegaskan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau berharap semua kementerian, jabatan dan agensi lain terutama yang berurusan secara langsung dengan rakyat juga dapat menandatangani lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menangani gejala berkenaan.

Menurutnya, ketika ini beliau dimaklumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad lebih 200 jabatan dan agensi menandatangani IBR.

Di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ahmad Zahid berkata, beliau mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian supaya mewajibkan semua pegawai, anggota dan kakitangan di 10 jabatan serta agensi di KDN supaya menandatangani IBR untuk memastikan semua warga di bawah KDN benar-benar bebas rasuah sama ada dari dalam atau luar.

“Komitmen ini bukan hanya retorik atau sekadar ikrar, tetapi kita berazam untuk melakukan tindakan (sewajarnya) untuk memastikan amalan itu benar-benar dihayati semua pihak.

“Saya memberi tumpuan terhadap soal membanteras amalan rasuah kerana masih ada meletakkan Malaysia pada persepsi yang belum begitu selesa untuk negara kita dari segi indeks amalan rasuah di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, semalam.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Menteri Datuk Masir Kujat dan Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan ikrar itu bertujuan membantu membuang persepsi buruk pelbagai pihak terhadap kerajaan.

“KDN adalah kementerian yang sensitif memandangkan perkhidmatan kita diletak di barisan hadapan dan dalam konteks ini, polis kerap terdedah dengan rasuah.

“Tahniah saya ucapkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melafaz ikrar semalam (kelmarin) dan kini saya mengarahkan Jabatan Imigresen supaya melaksanakan ikrar sama bagi mengelak prasangka masyarakat,”katanya.

Menurutnya, menolak rasuah juga perlu dijadikan amalan dalam kalangan semua masyarakat di negara ini sama ada dari sektor awam atau swasta untuk memastikan Malaysia bebas gejala berkenaan.

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 5:27am
d