mutakhir

Tanda sokongan berterusan

Oleh Suraya Roslan dan Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Lebih 5,000 pengunjung memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Media Prima Berhad (MPB) di Hotel KL Hilton, semalam.

Majlis diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta rakan strategik MPB selain kalangan artis tanah air.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan MPB Datuk Seri FD Iskandar; Pengarah Urusan Kumpulan MPB Datuk Seri Amrin Awaluddin, Pengerusi NSTP Tan Sri Ismail Omar dan Ahli Lembaga Pengarah MPB Tan Sri Ismee Ismail.

Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Datuk Abdul Jalil Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio Datuk Ahmad Izham Omar, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Mahfar Ali.

Sementara itu, FD Iskandar ketika ditemui berkata, kehadiran menteri Kabinet, rakan media, penjawat awam, rakan strategik dan pelanggan MPB ke Rumah Terbuka Aidilfitri sebagai tanda sokongan dan keyakinan tidak berbelah bagi kepada syarikat media gergasi di negara ini.

“Saya akui dalam keadaan ekonomi negara yang semakin mencabar, MPB melalui pelbagai cabaran, tetapi kita pasti dapat mengatasinya sedikit masa lagi.

“Malah, saya sangat berterima kasih kepada semua terutama pihak pengurusan dan kakitangan yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan MPB hingga ke tahap ini sekarang,” katanya.

Beliau yang bakal menamatkan perkhidmatannya pada 1 Ogos ini berkata, pelbagai pengalaman suka duka dinikmati selama lapan tahun perjalanan di dalam syarikat media gergasi itu.

“Akhir sekali, saya ucapkan yang terbaik buat seluruh Ahli Lembaga Pengarah MPB dan kakitangan,” katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 5:37am
d