mutakhir

Jom daftar nikah

Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: Berita baik buat pasangan yang berkahwin di luar negara melalui sindiket atau masih belum mendaftarkan pernikahan di mana mereka berpeluang berbuat demikian melalui program Pendaftaran Perkahwinan Berlawanan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003, ‘Jom Daftar Nikah’.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang bermula 1 Ogos hingga 1 November ini bertujuan membantu pasangan yang berkahwin tetapi belum mendaftarkan pernikahan mendapatkan surat nikah dalam tempoh tiga bulan.

Pengarahnya Datuk Haris Kasim berkata, ia program pemutihan dan dilaksanakan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada 2015.

“Kami mengadakan program ini khusus untuk membantu bagi mengelak masalah pendaftaran anak yang akan menyebabkan status anak dianggap sebagai tidak sah taraf berikutan dokumen pernikahan ibu bapa mereka tidak pernah didaftarkan.

“Selain itu, timbul masalah seperti pengurusan nikah anak, harta pusaka dan pendaftaran sekolah anak selain bertujuan menyedarkan masyarakat berlakunya nikah tidak sah serta bahayanya nikah sindiket,” katanya.

Haris berkata, berdasarkan statistik JAIS, pada 2015, 1,708 kes dicatatkan membabitkan pasangan yang bernikah tetapi tidak berdaftar hadir secara sukarela.

Beliau berkata, jumlah itu bertambah pada 2016 dengan 1,938 kes manakala sehingga Jun tahun ini, 796 kes dilaporkan dan pihaknya percaya jumlah berkenaan akan meningkat.

Katanya, sebahagian besar yang hadir mengakui bernikah di negara jiran ataupun menggunakan sindiket selain berpoligami untuk mengelak perkahwinan diketahui pasangan.

Sehubungan itu, katanya, bagi membendung masalah berkenaan daripada berleluasa, JAIS mengajak pasangan yang bermastautin di Selangor dan bernikah sebelum 1 Januari 2017 hadir bagi menyelesaikan masalah pendaftaran pernikahan.

“Melalui program ini, kita cuba selesaikan masalah pendaftaran pernikahan mereka ini segera dan jika pernikahan tidak sah berdasarkan perintah mahkamah mereka akan dibantu untuk pernikahan semula jika memenuhi syarat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mereka juga perlu melalui proses undang-undang yang ditetapkan dengan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan.

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 5:51am
d