mutakhir

Kelas mengaji percuma

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Dalam usaha menyemarakkan rasa cinta umat Islam terhadap kitab suci al-Quran, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, di sini, mengambil inisiatif menawarkan Kelas Talaqi al-Quran secara percuma.

Masyarakat Islam di ibu kota tidak harus melepaskan peluang keemasan ini, memandangkan kursus seumpama itu yang ditawarkan guru perseorangan mencecah bayaran antara RM300 hingga RM500 seorang.

Ustaz Mohd Faisal Tan Mutallib, ketua pentadbir masjid itu yang dahulunya dikenali sebagai Masjid Jamek Kuala Lumpur, berkata kelas Talaqi itu tidak saja mengajar teknik bacaan al-Quran yang betul membabitkan makhraj huruf dan tajwid yang sempurna, tetapi juga terjemahan dan penjelasan ayat yang dibaca.

Oleh itu, kelas dari Isnin hingga Khamis bermula jam 2 hingga 3 petang, menjadi platform terbaik bagi pelajar menimba ilmu.

Kelas Talaqi adalah sistem bersemuka membabitkan pada permulaannya guru membaca ayat terpilih dari surah, sambil didengar dan diperhatikan murid.

Murid kemudian mengulangi bacaan dengan diteliti oleh guru untuk mengesan sebarang kesilapan makhraj, harkat dan tajwid.

Mohd Faisal berkata beliau mendapat ilham untuk menubuhkan kelas yang dilaksanakan sejak 2013 itu sewaktu menunaikan haji beberapa tahun lalu.

Katanya, beliau tertarik dengan konsep mengaji dan membaca al-Quran yang diajar di beberapa masjid yang dilawatinya di Tanah Suci Makkah.

Menurutnya budaya membaca al-Quran cukup tinggi dalam kalangan umat Islam di sana.

Menjelas lanjut kelas Talaqi, beliau berkata, “Kami tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pelajar kerana niat kami ikhlas untuk menyemai minat membaca al-Quran.

“Saya juga berpesan kepada tenaga pengajar agar tidak mengambil sebarang wang yang diberi oleh pelajar jika mereka mendesak memberinya juga, wang itu hendaklah didermakan kepada tabung masjid,” katanya.

Kelas itu terbuka kepada semua golongan, tetapi mereka yang berumur 40 tahun ke atas memberikan sambutan yang sangat baik berbanding golongan muda kerana kekangan masa dan kerjaya.

Bagaimanapun, Mohd Faisal berkata beliau kagum dengan semangat yang ditonjolkan oleh pelajar terutama golongan dewasa yang tidak pernah patah semangat untuk berusaha mendalami ilmu al-Quran.

“Kebanyakan pelajar mengakui jarang membaca al-Quran ketika mereka bekerja (sewaktu muda) dahulu menyebabkan pembacaan mereka tidak lancar sedangkan penting bagi kita untuk sentiasa mengamalkannya,” katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 5:52am
d