mutakhir

Khidmat percuma

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Bukan kekayaan atau keuntungan dicari, tetapi fardu kifayah lebih diutamakan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Itulah sumbangan dan perkhidmatan yang diberikan Pertubuhan Pengurusan Jenazah Al-Ikhlas Pulau Pinang (Al-Ikhlas) apabila menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma.

Ditubuhkan pada 4 Ogos 2015, Al-Ikhlas bertempat di Masjid Khan Mohammad, Jalan Perak, Jelutong, di sini, dan sukarelawan mereka terdiri daripada 30 lelaki serta 20 wanita yang berlatar-belakang pelbagai kerjaya berusia 20 hingga 50-an.

Seorang sukarelawan, Edzwan Haziq Mahyuddin, 27, berkata, objektif utama pertubuhan ini adalah membantu masyarakat selain memberi pendedahan berkaitan pengurusan jenazah mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.

Menurutnya, pengurusan jenazah memerlukan tatacara dan disiplin yang betul kerana tidak mahu ada pihak yang keliru mengenainya.

Katanya, selain itu, perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma ini juga dilihat dapat membantu golongan fakir miskin yang tidak mampu berikutan kos yang dikenakan agak tinggi iaitu antara RM1,500 dan RM3,000.

“Sejak ditubuhkan lebih 30 jenazah sudah diuruskan dan proses pengurusan jenazah akan dilakukan sama ada di rumah, masjid dan hospital mengikut permintaan keluarga si mati,” katanya ketika ditemui, di sini.

Edzwan berkata, tiada caj tersembunyi dikenakan dan keikhlasan mereka bukan untuk meraih simpati sesiapa, tetapi kerana Allah SWT dan ia bukan untuk perniagaan tetapi amal jariah.

“Fardu kifayah menjadi agenda utama kami biarpun ramai pihak yang meragui usaha murni ini termasuk ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati kononnya menjejaskan periuk nasi mereka.

“Kami sediakan perkhidmatan ini percuma kerana keikhlasan dan bukannya mahu mengejar keuntungan,” katanya yang kini mempunyai 50 ahli yang bergiat aktif di sekitar Pulau Pinang,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan boleh menghubungi 013-4288980 (Edzwan), 017-4669760 (Nazril), 012-4143037 (Luthfi) dan 013-3131437 (Syaheed).

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 5:57am
d