mutakhir

Kempunan tunai haji bersama isteri

Oleh Suraya Roslan

Kelana Jaya: Siapa berani menolak ketentuan Ilahi apabila pasangan ini sepatutnya pergi bersama menunaikan haji tahun ini namun takdir Allah si isteri meninggal dunia terlebih dulu.

Mansor Ghalin, 66, yang melakukan persiapan haji dengan menghadiri beberapa kursus bersama arwah isterinya, Jamilah A Rashid, 49, terpaksa pergi berseorangan selepas wanita kesayangan itu meninggal dunia akibat kanser, beberapa tahun lalu.

“Walaupun sedih saya perlu cekalkan hati pergi bersendirian dan mengerjakan Rukun Islam kelima ini.

“Arwah isteri dulunya sentiasa menemani saya menghadiri kursus haji, jadi kehilangannya cukup dirasai,” katanya yang menetap di Segamat, Johor.

Katanya, dia bagaimanapun yakin dan terasa bebas untuk pergi bersendirian tanpa ditemani sesiapa kerana tumpuannya ketika ini adalah mengerjakan haji.

“Saya nekad mahu menumpukan perhatian sepenuhnya membuat ibadat haji dan semoga dikurniakan haji mabrur.

“Alhamdulillah lapan anak saya berusia 15 hingga 34 tahun kini sudah besar dan boleh menjaga diri masing-masing,” katanya.

Sementara itu, pesara jurutera Noor Kaman Salleh, 56, dan isterinya Miskiah Abd Wahid, 49, tidak menyangka dapat menunaikan haji tahun ini walaupun rayuan mereka sebelum ini ditolak Tabung Haji selepas menunggu selama 10 tahun.

Noor Kaman berkata, sebaik menerima surat tawaran, dia dan isteri banyak melakukan persiapan haji dan memperbanyakkan ibadat.

“Isteri saya sanggup mengambil cuti tanpa gaji selama dua bulan kerana dia bekerja dengan syarikat Jepun, Alhamdulillah majikan dia sangat memahami.

“Ketika menerima surat tawaran, hanya Allah tahu perasaan kami suami isteri kerana sangat berharap untuk menunaikan haji tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 6:30am
d