mutakhir

Dilanyak pelombong emas

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Tanah Merah: Kira-kira 100 penduduk Kampung Peralla, di sini, mendesak supaya kawasan kebun getah seluas 250 hektar di tempat mereka tidak dijadikan tapak perlombongan emas.

Penduduk mendakwa kebun itu sudah diceroboh sejak awal tahun dan 100 pokok getah ditebang, setakat ini dengan bayaran pampasan RM10 bagi sebatang pokok.

Mereka mendakwa aktiviti itu bukan hanya menjejaskan pendapatan sebagai penoreh getah, malah khuatir sekiranya keselamatan terancam ketika menoreh.

Difahamkan, tapak kebun itu milik kerajaan negeri yang diteroka penduduk sejak 80-an dan mereka juga mendakwa membayar premium RM18,000 bagi setiap 2.5 hektar tanah kepada kerajaan negeri sejak 2011.

Seorang penduduk, Rusani Abd Rahman, 58, berkata, keluarganya bergantung kepada hasil getah untuk meneruskan hidup sejak 80-an.

“Saya tiada pekerjaan lain dan bergantung sepenuhnya pada hasil getah untuk tanggung keluarga. Untuk dapatkan geran bagi tapak ini, kami membayar premium tanah dan sehingga kini masih membayarnya.

“Bagaimanapun, aktiviti perlombongan emas yang dijalankan boleh menjejaskan pendapatan kami. Pampasan diberi tidak setimpal, malah kita pula bimbang keselamatan terancam.

“Sejak projek itu bermula, saya sangat jarang menoreh kerana bimbang jika terjatuh dalam lubang yang digali untuk melombong emas,” katanya ketika ditemui di kebun itu, semalam.

Seorang lagi penduduk Abdullah@Yunus Hussain, 66, berkata, pertemuan dengan kerajaan negeri dan Pejabat Tanah dan Galian sudah dijalankan namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

“Biarpun kami masih tiada geran, kami membayar premium untuk tanah ini dan dijanjikan geran supaya ia sah milik kami.

“Malangnya, tiada maklum balas sewajarnya daripada pihak kerajaan negeri atas apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh Mohd Bakri Mustapha berkata, masalah penduduk itu sudah dibawa ke sidang DUN Negeri Kelantan, namun tiada maklum balas positif.

Katanya, dia difahamkan aktiviti perlombongan itu mendapat kebenaran kerajaan negeri tanpa ada perbincangan dengan penduduk terbabit.

“Kerajaan negeri sepatutnya turun ke bawah dan lihat sendiri masalah yang dihadapi penduduk di sini.

“Ketepikan politik dan bantu dengan keluarkan geran kepada mereka,” katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 6:40am
d