mutakhir

Dua beranak dibebas jaminan RM200,000 [METROTV]

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Pegawai dan bekas pegawai kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC), yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 11 Julai lalu, dibebaskan dengan jaminan, semalam.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka Mohd Anuar Ostadi membenarkan anak-beranak itu dibebaskan dengan jaminan RM200,000 setiap seorang ketika prosiding bermula jam 10.25 pagi.

Terdahulu, kedua-dua suspek masing-masing berusia 43 dan 76 tahun memakai baju lokap SPRM tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, di sini, dengan diiringi anggota SPRM pada jam 10 pagi.

Pada 12 Julai lalu, bapa dan anaknya itu direman selama tujuh hari sebelum dilanjutkan selama tujuh hari lagi yang berakhir semalam.

Harian Metro pada 12 Julai lalu melaporkan dua beranak itu yang didakwa menggelapkan wang bernilai RM4 juta milik MISDEC ditahan SPRM.

Sumber SPRM berkata, mereka ditahan kerana disyaki menyalahguna kuasa dengan meluluskan pemindahan wang syarikat ke akaun peribadi milik mereka.

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 6:49am
d