mutakhir

Sambung reman

Oleh Omar Osman

REMAN empat lelaki suspek kes membaling bom petrol di hadapan pagar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda Sabtu lalu yang berakhir hari ini disambung dua hari lagi di Mahkamah Majistret Sungai Petani.

Perintah itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Sungai Petani Balkhis Abdul Halimselepas dipohon pihak polis bagi melengkapkan siasatan kes itu.

Suspek berusia 25 hingga 42 tahun itu ditahan di beberapa kawasan di Sungai Petani pagi Ahad lalu dan direman sehingga hari ini susulan operasi besar-besaran dilakukan polis sejurus kejadian.

Suspek pertama berusia 42 tahun ditahan di Taman Ria Jaya dan polis turut merampas motosikal SYM Bonus Sport berwarna kuning bagi membantu siasatan.

Tiga lagi suspek berusia 25, 30 dan 26 ditahan di Bandar Mutiara dan di Jalan Bakar Sampah.

Dalam kejadian awal pagi Sabtu, dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal bertindak membaling bom petrol ke arah pintu pagar IPD Kuala Muda serta meninggalkan kain rentang berwarna putih berukuran 4x2 meter tertera angka 04 dan lambang Nazi serta mesej ugutan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendakwa rasis dalam tindakan membenteras kegiatan kongsi gelap.

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 3:53pm
d