mutakhir

Padah curi 12 biji kelapa

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

DUA lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana mencuri 12 biji kelapa, Jun lalu.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Noor Firdaus Khalid @ Abdullah, 33, dan Mohd Azuwan Muda, 36, masing-masing dari Kuala Nerus mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama mencuri 12 biji kelapa milik Mohd Hazli Zakaria, 45, di kebun kelapa Kampung Pondok Lalang, Tepoh, Kuala Nerus pada 9 malam 21 Jun lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan pengadu yang menjaga kebun kelapa berkenaan ketika memindahkan buah kelapa yang dikumpulkan ke dalam kereta kira-kira 9 malam 21 Jun lalu.

Sebelum itu, tindak-tanduk dua tertuduh yang mengumpul kelapa di kebun berkenaan kira-kira 6 petang hari sama disedari pengadu yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Dua tertuduh datang semula ke kebun berkenaan pada sebelah malam sebelum mereka ditahan pengadu bersama dua rakannya.

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 4:49pm
d