mutakhir

Bumbung 10 rumah rosak dilanda ribut

Oleh Mohamad Yatim Latip

SEPULUH rumah di Kampung Bukit Cina, Jalan Puteri Hang Li Poh, Melaka Tengah rosak pada bumbung dalam kejadian ribut, 6.30 pagi hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Pengkalan Rama Tengah Rosdin Baba, hasil pemeriksaan dijalankan pihaknya kerugian dialami dianggarkan RM100,000.

"Majoriti kerosakan kediaman adalah pada bahagian bumbung dengan dua daripadanya rosak teruk.

"Mangsa sudah diminta untuk buat laporan polis dan kejadian sudah dimaklumkan kepada Pejabat Daerah Melaka Tengah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa Fadzilah Md Desa, 46, berkata, ketika kejadian, dia berada di bilik bersama suami, Amdan Sidin, 52, manakala ibu mentuanya, Endon Akob, 85, di bilik bersebelahan.

"Kami bangun untuk melakukan pemeriksaan selepas mendapati dinding bilik bergegar, sejurus membuka pintu kami mendapati bumbung rumah sudah hilang.

"Lebih mencemaskan apabila saya nampak pusaran angin dari arah rumah jiran ketika mendongak ke langit, lalu arahkan ibu mentua berlindung dalam biliknya kerana risau berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

Pasangan itu kini buntu memikirkan cara untuk baiki kerosakan bumbung dalam masa terdekat ini memandangkan majlis kenduri perkahwinan anak lelaki mereka akan diadakan Oktober depan.

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 4:54pm
d