mutakhir

DUN Lenggeng dapat 'penjaga' baru

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SETIAUSAHA Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mat Ali Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Redza dilantik sebagai bapa angkat DUN Lenggeng, bagi menguruskan kebajikan rakyat di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelantikan terbabit dibuat susulan kekosongan kerusi DUN N09 Lenggeng selepas kematian Datuk Ishak Ismail, pada 18 Julai lalu.

"Mereka akan menjadi bapa angkat sementara menunggu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan adanya wakil rakyat yang baru. Ia adalah usaha untuk memastikan urusan pentadbiran dan kehidupan rakyat berjalan dengan sempurna.

"Selain itu, kita meminta penghulu atau ketua kampung untuk menjaga dan mengambil tahu apa jua permasalahan serta keperluan rakyat di kawasan mereka," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Negeri, Seremban, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya tidak akan mewujudkan pusat khidmat baru sebaliknya mereka boleh menggunakan Pusat Khidmat Ampangan untuk menjalankan sebarang urusan berkaitan.

Allahyarham Ishak meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah selepas rebah ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Seri Menanti di Tanjung Ipoh, pada jam 11.25 malam, 18 Julai lalu.

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 4:54pm
d