mutakhir

Pegawai Kanan JAS direman 6 hari

Oleh Mary Victoria Dass

PEGAWAI Jabatan Alam Sekitar (JAS) Daerah Johor Bahru berusia 40 tahun direman enam hari mulai hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Alias mengeluarkan perintah reman terbabit sehingga 31 Julai depan di Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Semalam, SPRM menahan lelaki berkenaan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada syarikat penyedia Environmental Management Plant (EMP), tahun lalu.

Suspek bekerja sebagai Pegawai Kawalan Alam Sekitar Kanan C44 adalah Ketua Bahagian Pembangunan merangkap Ketua Unit Penguatkuasaan EIA, JAS Daerah Johor Bahru.

Hasil siasatan awal mendapati berlakunya kemasukan wang RM4,000 pada 1 Disember 2016 ke akaun syarikat milik suspek.

Wang itu diterima daripada sebuah syarikat yang menyediakan Environmental Impact Assessment (EIA), EMP dan Environmental Monitoring Report (EMR) serta kerja-kerja audit berkaitan alam sekitar.

Wang berkenaan dibayar kepada suspek kerana dipercayai meluluskan laporan EMP yang disediakan oleh syarikat berkenaan untuk syarikat pemaju membabitkan projek di mukim Pulai, Johor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan jika disabitkan kesalahan suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 6:21pm
d