mutakhir

RM5.9j elaun sara hidup nelayan

Oleh Hairie Norli

KERAJAAN memperuntukkan elaun sara hidup sebanyak RM5.9 juta kepada 3,300 nelayan di Pulau Pinang dari Januari hingga Jun 2017.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Negeri Pulau Pinang, Mohd Khir Mohd Sham berkata, daripada jumlah itu RM2,276,600 adalah bagi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pulau Pinang Selatan.

Beliau berkata, 14 kawasan di Pulau Pinang Selatan dipilih menerima bantuan bulanan bagi memberi kelegaan kepada nelayan di samping dapat mengurangkan tekanan kos sara hidup.

"Kita sangat berharap agar bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima bantuan elaun sara hidup bagi menampung keperluan harian dan bantuan ini diberikan mengikut zon perairan tangkapan mereka.

"Antara kawasan menerima bantuan elaun sara hidup termasuk Jelutong, Pengkalan Sungai Pinang, Gelugor, Batu Uban, Teluk Tempoyak, Permatang Damar Laut, Sungai Batu, dan juga kawasan Balik Pulau," katanya ketika ditemui di Program Penyerahan Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan Pulau Pinang Selatan di Balik Pulau, hari ini.

Menurutnya, bantuan diberikan itu secara tidak langsung mencerminkan komitmen dan keprihatinan kerajaan untuk membantu meringankan beban golongan nelayan.

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 9:23pm
d