mutakhir

Jenazah ibu dan anak selamat dikebumikan [METROTV]

 Baharom Bakar

am@hmetro.com.my 

JENAZAH dua beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 65, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Dungun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Penaga, Kuala Terengganu pada  11.30 malam semalam.

Sebelum dibawa ke tanah perkuburan, jenazah Nurbani Fartini Ahmad Farnizar Bani,25, dan bayinya, Naira Nur Fauzana Mohd Nazrin berusia tujuh bulan dibawa ke rumah bapa Nurbani Fartini, Ahmad Fanizar Bani Md Tahar,48, di Lorong Haji Awang, Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu, untuk disembahyangkan pada  10.45 malam.

Turut menunaikan solat jenazah dua beranak itu adalah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Datuk Mohd Zuber Embong dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Suasana hiba menyelubungi kediaman mangsa apabila kain kafan dibuka sebaik selesai solat jenazah bagi membolehkan ahli keluarga menatap wajah dua beranak itu.

Terdahulu, jenazah dua beranak itu dimandi dan dikafankan di Hospital Dungun sebelum dibawa ke Kuala Terengganu untuk urusan pengebumian.

Dalam kemalangan 1.40 tengah semalam, Nurbani Fartini yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala bayinya meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Dungun.

Difahamkan, dua beranak terbabit yang duduk di sebelah pemandu tercampak keluar dari kereta dipandu Mohd Nazrin Nizam,25.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 1:17am
d