mutakhir

Pecah kali ketiga

Oleh Garret Dawum

Semenyih: Paip di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Ming, di sini, yang pecah kali ketiga sepanjang bulan ini, memberi tekanan dan merunsingkan 15,000 penduduk di sekitar pekan Semenyih.

Penduduk, Ahmad Ghafar Abdullah, 52, berkata, paling menyedihkan apabila kejadian paip pecah pertama kali berlaku ketika Aidilfitri dan rumahnya tiada bekalan air selama tiga hari.

“Sambutan Aidilfitri sepatutnya diraikan dengan penuh gembira tetapi ia sangat sengsara dan pilu buat kami sekeluarga. Saya terpaksa menolak kehadiran tetamu ke rumah kerana tiada bekalan air untuk membuat persiapan.

“Kali ini berlaku lagi. Sampai bila penduduk sekitar perlu berhadapan perkara itu. Saya semakin risau apabila kejadian sama berulang walaupun paip sudah dibaiki,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih Datuk Johan Abdul Aziz melawat kawasan paip pecah terbabit bersama Gagasan Prihatin Semenyih (GPS).

Setiausaha GPS Hamdan Abu berkata, kejadian paip pecah menyebabkan 23 taman perumahan terjejas teruk seperti Taman Semenyih Sentral, Taman Desa Semenyih, Taman Semenyih Jaya, Kampung Baru Cina Semenyih, Taman Gembira, Taman Raja Tun Uda dan Batu 1 di Jalan Bangi-Semenyih.

“Penduduk Semenyih sekali lagi diuji masalah sama yang dialami sejak lima tahun lalu ekoran paip lama berusia 20 hingga 25 tahun tidak diganti oleh pihak berwajib.

“Kejadian kali ketiga ini pula terus menjadi kebimbangan kepada penduduk kerana ia boleh menjejaskan kehidupan harian,” katanya.

Sementara itu, Johan berkata, masalah terbabit seharusnya diselesaikan dengan baik agar bekalan air tidak terputus secara berterusan dan tidak menimbulkan rasa khuatir kepada penduduk.

“Bagaimana paip yang dibaiki pihak kontraktor terbabit pecah semula 15 minit selepas dibaik pulih. Itu adalah paip utama yang menyalurkan bekalan air kepada penduduk Semenyih.

“Bagi mengelakkan kejadian sama berulang lagi, pengurusan kerajaan negeri sepatutnya lebih cekap dan terurus. Paip yang lama perlu ditukar segera dan digantikan dengan barang berkualiti demi keperluan penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 4:28am
d