mutakhir

150,204 berdaftar dengan UNHCR di Malaysia

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Seramai 150,204 pelarian dan pemohon suaka dari 59 negara berdaftar dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dicatatkan di negara ini hingga 31 Mei lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, daripada jumlah itu, seramai 94,361 orang adalah pelarian manakala baki 55,843 orang adalah pemohon suaka.

Menurutnya, jumlah terbesar terdiri daripada 10 negara iaitu Myanmar dengan 133,725 orang, Pakistan (3,548), Sri Lanka (2,328), Yaman (2,095), Somalia (2,062), Syria (1,980), Iraq (1,461), Afghanistan (1,082), Palestin (698) dan Iran (440).

Katanya, buat masa ini, kerajaan melaksanakan dasar perintis kebenaran bekerja kepada pemegang kad UNHCR dalam kalangan etnik Rohingya untuk membenarkan mereka bekerja dalam sektor perkilangan dan perladangan bagi tempoh tiga tahun mulai 1 Mac lalu.

“Kerajaan juga membenarkan anak pelarian dan pemohon suaka untuk mendapat akses pendidikan di sekolah swasta atau pusat pendidikan yang disediakan badan bukan kerajaan,” katanya ketika menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang ingin mengetahui jumlah permohonan terkini pelarian diluluskan ke Malaysia mengikut negara asal dan jantina di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Beliau berkata, kerajaan tidak menerima permohonan atau mengeluarkan kad pelarian, sebaliknya ia dikendalikan UNHCR.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 5:17am
d