mutakhir

Segera baik pulih

Oleh Faliq Lajim

Shah Alam: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi jaminan akan segera membaik pulih Pusat Pemindahan Sisa Pepejal di Seksyen 21, di sini, supaya ia dapat beroperasi dalam masa terdekat.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, usaha baik pulih itu akan dipercepatkan bagi memudahkan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menghantar terus sampah yang dikutip ke Tapak Pelupusan Sampah Jeram sejak dua minggu lalu, untuk kembali mengumpulkan sisa pepejal berkenaan di pusat berkenaan.

Empat PBT terbabit adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“KPKT sudah mendapat kelulusan mahkamah untuk menguruskan pusat pemindahan yang sudah tidak beroperasi sejak dua minggu lalu itu. Saya sudah mendapat surat rasmi daripada Jabatan Peguam Negara. Isnin ini kami akan diberi kunci dan kita akan masuk serta baiki.

“Kita sudah lantik kontraktor untuk kerja-kerja baik pulih tempat ini dan ia dijangka siap sepenuhnya tahun ini juga memandangkan pusat pemindahan ini penting untuk kegunaan rakyat.

“Saya juga sudah maklumkan pada jemaah Kabinet KPKT tidak menyambung kontrak anak syarikat Kerajaan Negeri, Worldwide Holdings Berhad (WHB),” katanya, semalam.

Noh berkata, beliau percaya sekiranya kerja membaik pulih pusat pemindahan itu tidak disegerakan, empat PBT terbabit akan mengalami kesulitan membabitkan kekerapan kutipan sampah di kawasan masing-masing.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 5:33am
d