mutakhir

Serentak alunan kalam suci [METROTV]

Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Program World Quran Hour yang secara kebetulan jatuh pada sambutan Hari Kebangsaan tahun ini turut diadakan di Dataran Merdeka, di sini, sebagai satu daripada tempat memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, pihaknya sudah mendapat kebenaran untuk mengadakan majlis yang dijangka bermula pada jam 8.30 malam.

“Seperti biasa, bacaan akan diperdengarkan secara serentak di masjid di seluruh negara selama satu jam bersempena ibadat wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah ini.

“Kemudian pada sebelah malam, bacaan al-Quran akan diteruskan di Dataran Merdeka bagi program yang dikenali sebagai Merdeka Quran Hour,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin orang ramai akan hadir memberi sokongan meskipun terdapat pelbagai acara dan majlis diadakan di lokasi berkenaan sempena sambutan kemerdekaan.

Hussamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf berkata, program itu bertujuan menggalakkan umat Islam membaca, memahami serta menghayati al-Quran serta menjadikan kitab suci itu sebagai panduan dalam kehidupan seharian mereka.

“Alhamdulillah, penganjuran kali kedua ini mendapat sokongan dan kerjasama daripada 14 rakan media yang turut sama mempromosikan kempen program ini sepanjang tahun,” katanya.

Beliau sebelum itu menghadiri taklimat program berkenaan yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad Datuk Abdul Jalil Hamid di Balai Berita, di sini, semalam.

Turut hadir Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar, Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Mahfar Ali dan Pengarang Kumpulan New Straits Times Yushaimi Maulud Yahaya.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 6:32am
d