mutakhir

Tanglung gaya moden [METROTV]

Oleh Siti Fatimah Nasir

Bagi masyarakat Cina, tanglung adalah satu dekorasi wajib yang menjadi kemestian setiap kali sambutan Tahun Baru Cina untuk dijadikan hiasan utama di pekarangan rumah, kedai, pusat perniagaan, pusat beli-belah dan juga pejabat.

Seiring dengan peredaran zaman, tanglung zaman ini sudah mengalami beberapa perubahan reka bentuk dan tidak lagi bergantung kepada seni pembuatan lama yang menggunakan bahan tradisi kayu dan buluh.

Sebaliknya kini, ada pembuat tanglung seperti Sifu Koh Liang Sia, 64, yang sudah mencipta kelainan apabila menggunakan dawai mudah lentur dalam pembuatan tanglung yang juga sudah tidak terikat dengan tradisi lama sebaliknya mengikut kesesuaian masyarakat majmuk di negara ini.

Justeru, Sifu Koh mencipta kelainan dengan mereka pelbagai bentuk dan jenis sebagai simbol perpaduan yang boleh merapatkan hubungan semua kaum di Malaysia melalui rekaan tanglung berbentuk wau, pelita aladdin, ikan emas, dan banyak lagi.

Menurutnya, ciptaan baru yang dicipta adalah untuk memenuhi hobi masa lapang selain rekaannya turut dikomersialkan untuk tujuan dekorasi.

Sifu Koh berkata, minatnya dalam pembuatan tanglung bermula ketika beliau melihat abangnya membuat tanglung menggunakan bahan asas seperti buluh, kertas berwarna-warni dan lilin.

“Sejak itu, saya mula mendapat idea untuk membuat sedikit kelainan pada tanglung dengan menggunakan bahan terbuang seperti botol mineral, bekas makanan, tiub, bekas plastik telur dan sebagainya.

“Bukan itu saja, saya juga membuat sedikit pengubahsuaian pada tanglung daripada menggunakan lilin dan menggantikannya dengan lampu kecil supaya ia lebih tahan lama dan tidak mudah padam jika ditiup angin,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Dengan sokongan isterinya, Chong Siew Lin, 57, usaha membuat kelainan pada tanglung yang berkonsep moden menjadi lebih mudah kerana isterinya turut berkongsi minat dan kreativiti yang sama dalam membuat tanglung.

Tanglung moden yang dihasilkannya kini telah menarik perhatian ramai bukan saja unik tetapi boleh bergerak dan menghasilkan bunyi dengan bantuan alat elektronik pada tanglung berkenaan.

Bercerita mengenai pengalamannya membuat tanglung, bapa kepada dua orang anak itu berkata, kerja menghasilkan tanglung sememangnya rumit kerana ia mengambil masa lebih kurang dua minggu hingga sebulan untuk menyiapkan sebuah tanglung bergantung kepada saiz dan bentuk.

“Penghasilan tanglung yang berkualiti bukanlah mudah untuk dihasilkan kerana seseorang itu perlu mempunyai kesabaran dan kreativiti yang tinggi dalam menghasilkan tanglung.

“Jika tersilap langkah, tanglung akan menjadi tidak sempurna di mana ia sangat memerlukan kerja tangan yang teliti dan cermat dalam mereka tanglung,” katanya.

Jelasnya lagi, sebelum membuat tanglung, dia akan melihat perkembangan semasa yang berlaku di Malaysia terlebih dahulu untuk menghasilkan sebuah tanglung yang unik.

Sebagai contoh, jika rakyat Malaysia terpengaruh dengan watak animasi Pokemon, dia akan menghasilkan tanglung berbentuk Pokemon supaya dapat menarik perhatian orang ramai khususnya.

Mengulas lanjut mengenai caranya membuat tanglung, Koh berkata, pada mulanya dia perlu meluruskan kedua-dua dawai mudah lentur bersama pita pelekat supaya tanglung tidak bergerak dan seimbang ketika melakukan kerja-kerja membentuk tanglung.

“Selepas itu, saya akan membentuk tanglung berdasarkan deria hati dengan sokongan alat playar muncung tirus untuk membengkokkan dawai berkenaan.

“Sesudah tanglung dibentuk, pelekat kabel akan digunakan di sekeliling tanglung supaya tanglung kelihatan kemas, kukuh dan tidak mudah tercabut,” kata Sifu Koh.

Katanya lagi, apabila kerja membentuk tanglung sudah siap, dia akan menggunakan kain berwarna warni untuk dilekatkan pada tanglung bersama dengan gam panas.

“Selepas kain siap dilekatkan, tanglung akan diperkemas dan ditambah dengan koleksi tambahan seperti mentol kecil dan beberapa bahan dekorasi pada badan tanglung itu,” katanya.

Antara peralatan yang digunakan dalam membuat tanglung adalah seperti playar muncung tirus, dawai, gunting, pelekat kabel, pita pelekat, kain, klip, kertas gelas, penjalur wayar, mentol lampu kecil dan banyak lagi.

Menurut Sifu Koh, setiap rekaan tanglung akan mencerminkan simbolik perpaduan kaum di Malaysia yang bukan hanya tertumpu kepada kaum Cina sahaja.

Berpegang kepada prinsip itu, Sifu Koh menghasilkan tanglung dengan pelbagai reka bentuk yang menggabungkan ciri perkauman di negara ini.

Dia yang sudah berpengalaman hampir 37 tahun dalam seni pembuatan tanglung berkata, hobinya dalam membuat tanglung bukanlah sekadar suka-suka tetapi dia juga sanggup mengajar mereka yang meminati seni membuat tanglung ini.

Lebih mengagumkan, hasil kerjanya juga mendapat banyak anugerah dan permintaan daripada pelanggan serta syarikat besar di dalam dan luar negara untuk majlis-majlis khas.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 6:49am
d