mutakhir

Wadar rasuah dicekup

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

SEORANG wadar Pusat Koreksional Perlis ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menerima rasuah bagi membawa masuk barangan terlarang kepada banduan, petang semalam

Lelaki berusia 33 tahun itu dicekup ketika hadir untuk membantu siasatan di pejabat SPRM negeri di Kangar selepas didapati menerima beberapa suapan wang tunai berjumlah RM3,300 pada Mac lalu.

Difahamkan lelaki itu menerima suapan antara RM200 hingga RM1,500 menerusi akaun bank peribadinya bagi tujuan membawa masuk barangan terlarang kepada banduan.

Siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysa 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Pengarah SPRM Perlis, Yaacob Angah ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek namun tidak mengulas lanjut.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 12:28pm
d