mutakhir

'Senjata' atasi kesalahan dadah berulang

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

PENAGIH dadah yang disabitkan kesalahan sebanyak dua kali mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 boleh dikenakan hukuman penjara mandatori selama lima tahun mengikut Seksyen 39 (C) akta sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya menerusi Timbalan Pendakwa Raya turut memohon mahkamah untuk tidak membenarkan ikat jamin atas kesalahan berulang itu.

Katanya, seramai 550 individu sudah dikenakan hukuman itu sepanjang tahun ini, dan pihaknya akan mempertingkatkan langkah memerangi gejala dadah habis-habisan demi kepentingan umum.

"Pada 2016 terdapat seramai 34,000 penagih baru, selagi ada permintaan, selagi itu ada bekalan sebab itu kerajaan memberi tanggungjawab kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis untuk cari pengedar dadah daripada (tokan) besar hingga kecil-kecilan.

"Kita akan menggunakan pendekatan mengikut Seksyen 39 (C) ADB 1952 dan sehingga 18 Julai lalu terdapat 550 kes mereka yang mempunyai dua kesalahan lalu kita pohon DPP supaya dituduh mengikut seksyen (39 (C) ADB 1952) itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Balai Polis Sri Lalang, Kluang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin.

Menurutnya, ia adalah ‘senjata’ yang digunakan pihak polis untuk memerangi penyalahgunaan dadah, selain ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan ADB 1952.

“Menerusi Seksyen 39 (C) ini, kita harap penagih dadah mempunyai rasa takut apabila duduk di 'dalam' selama lima tahun, barulah dia tahu.

"Dulu kita guna, tetapi sekarang kita mempertingkatkan dan saya sudah mengarahkan gunakan semua undang-undang yang ada supaya kita menyukarkan mereka," katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 1:41pm
d