mutakhir

Program baru pada GLC ExplorAce 2017

Oleh Idris Musa

PROGRAM GLC ExplorAce 2017 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 8 Ogos depan akan memperkenalkan ‘Start-up Innovation Pitch’ iaitu satu program baru oleh Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sesi itu akan membolehkan syarikat baru bermula membentangkan idea, cadangan penyelesaian masalah dan inovasi mereka kepada syarikat utama yang mengambil bahagian.

“Ada dua jenis format pelaksanaan sesi ini iaitu melalui kaedah pemadanan perniagaan untuk syarikat baru bermula dan cabaran inovasi untuk syarikat besar yang menyertai MaGIC Activate bagi mencari penyelesaian masalah melalui khidmat luaran,” katanya sempena Majlis Prapelancaran GLC ExplorAce 2017, di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM Group Berhad, Datuk Izzaddin Idris dan Ketua Kumpuan - Perolehan Sime Darby Holdings Berhad, Adi Wira Abdul Razak.

Program dianjurkan MITI dengan kerjasama UEM, Sime Darby dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) itu adalah program kali kelima sejak 2013, dengan tema Cemerlang Mendepani Dunia Digital.

Sebanyak 40 organisasi akan terbabit sebagai pempamer, antaranya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Bank Negara Malaysia dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), termasuk MITI dan agensi di bawahnya.

Mustapa berkata, GLC ExplorAce adalah inisiatif kerajaan menyediakan platform untuk vendor Bumiputera yang terbabit dalam Program Pembangunan Vendor (PPV) menerokai peluang perniagaan baru.

Katanya, ia akan dilaksanakan melalui empat komponen utama iaitu pemadanan perniagaan, jalinan perniagaan, khidmat nasihat perniagaan dan kewangan serta perkongsian maklumat perniagaan dan pengalaman keusahawanan melalui beberapa sesi ‘pocket talk’.

“Inisiatif ini secara tidak langsung memberi peluang kepada syarikat utama, syarikat vendor dan institusi kewangan yang turut serta untuk mengembangkan perniagaan, selain membantu mereka menjadi lebih kompetitif, dinamik dan berdaya saing.

“Program ini juga akan menonjolkan kejayaan beberapa syarikat utama dan vendor dalam dunia perniagaan digital. Syarikat berkenaan juga akan mempamerkan hasil pencapaian mereka, selain berkongsi visi, kepakaran, pengalaman dan cabaran yang mereka hadapi.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 2:58pm
d