mutakhir

Mengaku tidak bersalah curi pakaian dalam

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG lelaki yang ditahan kerana mencuri 15 helai pakaian dalam milik dua wanita, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Shum Kok Fai, 28, mengangguk faham ketika dua pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mencuri 14 helai pakaian dalam wanita milik mangsa berusia 19 tahun di belakang rumah sewa Taman Desa Putra, Banggol Tuan Muda, Manir, Kuala Terengganu, pada 12 tengah hari, 24 Julai lalu.

Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan mencuri sehelai pakaian dalam wanita milik seorang mangsa berusia 18 tahun di alamat, waktu dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, dia berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Semalam media melaporkan penahanan seorang lelaki bersama sebuah beg di sebuah taman perumahan di Manir membawa penemuan mengejutkan apabila menemui pelbagai jenis pakaian dan seluar dalam wanita.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 4:35pm
d