mutakhir

Semoga berbahagia hendaknya

Oleh Balqis Jazimah Zahari

TIGA belas pasangan diijabkabulkan dalam Program Nikah Jamaie Syarie Pasangan Orang Asli di Sungai Siput, hari ini.

Program julung kali itu adalah anjuran Unit Dakwah Orang Asli Agama Islam Daerah Kuala Kangsar dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Lintang.

Turut mendapatkan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI) Parlimen Sungai Siput.

Majlis dirasmikan ADUN Lintang, Datuk Dzolkafly Harun dan turut hadiri Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Kangsar, Burhanuddin Md Dali.

Pengantin lelaki, Muhammad Hidayat Ahab, 21, berkata, program seperti itu sangat bagus kerana dapat meringankan beban kewangan orang kurang berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga.

Dia yang diijabkabulkan dengan Haimi Anjang, 20, yang baru memeluk Islam Ogos tahun lalu, berkata, pernikahan secara beramai-ramai itu memberikan kelainan kepadanya dan isteri kerana tidak gentar ketika majlis akad nikah.

“Ustaz yang mengesyorkan kami untuk menyertai program ini. Ia memberi pengalaman istimewa dan saya mengharapkan perkahwinan berkekalan,” katanya yang ditemui selepas diijabkabul pada majlis itu.

Haimi pula berkata, dia sememangnya sudah terbuka hati untuk memeluk Islam sejak berusia 15 tahun dan perkenalan dengan suami sejak dibangku sekolah membuatkan dirinya semakin mengenali agama itu.

“Saya sudah lama terbuka hati untuk menerima Islam. Suami sebelum ini memang peramah dan banyak membantu serta membimbing saya berkaitan Islam.

“Saya rasa bertuah kerana menjadi antara pasangan pengantin yang diraikan,” katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 8:10pm
d