mutakhir

Kami berlakon saja

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

PENYOKONG bola sepak Pulau Pinang tidak menyangka video gurauan kononnya melakukan upacara menangkap makhluk halus di Stadium Negeri, Batu Kawan, Selasa lalu, tular di media sosial.

Wan Azrul Azizan, 32, atau Ajo yang menyertai Kumpulan Mamu dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega berkata, dia bersama seorang rakan kecewa apabila Pulau Pinang gagal menang di tempat sendiri, musim ini.

Dia kemudian meminta seorang rakannya membantu merakam video sambil berseloroh melakukan upacara menangkap makhluk halus.

"Saya dan rakan Abdul Hafiz Abdul Halim, 33, mencari paip plastik, buah kelapa, ‘globe’ dan labu sayong sebagai bahan kononnya untuk melakukan upacara menangkap makhluk halus.

"Saya gembira apabila malam berikutnya Pulau Pinang menewaskan Pahang 2-0, sedangkan apa yang kami lakukan hanya gurauan," katanya.

Video 1.53 saat itu sudah ditonton lebih 36,000 kali dan dikongsi 168 kali, termasuk perhatian pemain bola sepak Pulau Pinang.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 8:54pm
d