mutakhir

Penunggang maut, pembonceng parah

Oleh Mohd Sabran Md Sani

REMAJA berusia 18 tahun maut manakala rakannya parah selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Kilometer 46, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Simpang Renggam-Sedenak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Razak Md Said berkata, kejadian jam 2.15 petang itu mengakibatkan mangsa, C P Prassanth maut di lokasi akibat parah di kepala dan badan.

“Kemalangan turut mengakibatkan pembonceng Yamaha LC135, S P Hariharan Pillay yang berusia 17 tahun parah dan dia di bawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa terbabas ke kiri jalan.

“Kejadian mengakibatkan mangsa terlanggar lori jenis Scania yang berhenti di lorong kecemasan akibat berlaku kerosakan.

“Siasatan mendapati pemandu lori Scania meletakkan kon segi tiga di belakang kenderaan berat itu untuk pemerhatian pengguna jalan raya,” katanya.

Menurut Razak, akibatnya, penunggang motosikal tercampak dan pada masa sama, sebuah lori jenis sama gagal mengelak dan terus melanggar mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 10:39pm
d