mutakhir

Setem 50 tahun ASEAN

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Sempena ulang tahun ke-50 penubuhan ASEAN, Pos Malaysia Berhad (PMB) mengeluarkan setem menampilkan tema bunga kebangsaan, bunga raya mulai 8 Ogos depan.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Diyana Dean Abdullah berkata, siri koleksi setem ini kali pertama dikeluarkan yang menampilkan logo baru ASEAN Post.

“Logo ini dipilih majoriti negara ASEAN Post hasil peraduan merekabentuk logo dimenangi Vietnam Post.

“Siri setem menampilkan spesies rama-rama tempatan serta lebah hinggap dan memakan madu pada bunga dengan harga 60 sen itu terhad kerana 125,000 setem saja dikeluarkan,” katanya ketika sesi pratonton koleksi setem itu di Galeri Setem Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi, di sini, semalam.

Menurutnya, keluaran setem ini menjadi permulaan bagi setem ASEAN Post yang semua negara ahli mengeluarkan setem menampilkan logo itu setiap dua tahun pada 8 Ogos.

“Siri koleksi setem Lembaran Mini dengan corak bunga raya dijual pada harga RM3 sekeping dan Harga Kad Maksimum pula dijual pada harga RM1.05.

“Produk filateli lain seperti Sampul Surat Hari Pertama bersama risalah percuma dijual pada harga 55 sen sekeping dan folder pula dijual pada harga RM6.35 setiap satu,” katanya.

Menurutnya, semua set lengkap siri setem ini dijual pada harga RM29.25 setiap satu dan boleh didapati di seluruh cawangan Pos Malaysia pada hari keluarannya.

Sementara itu, Diyana Lean turut menggalakkan pengumpul setem untuk membuka Akaun Deposit Pesanan Tetap (SODA) bagi memudahkan urusan membeli siri setem terkini dengan hanya mendeposit wang sebanyak RM50 di dalam akaun.

“Pembukaan akaun ini akan memudahkan pelanggan setiap kali keluaran siri setem baru dibuat di mana Pos Malaysia akan terus menghantar setem berkenaan ke alamat mereka tanpa mereka perlu beratur panjang untuk mendapatkan koleksi setem itu.

“Mereka yang berminat menjadi ahli SODA boleh mendaftar di mana-mana cawangan pos seluruh negara disamping menikmati pelbagai faedah yang ditawarkan sebaik menjadi ahli,” katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 5:42am
d