mutakhir

Terap nilai kasih sayang

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Serdang: Peranan ibu bapa bukan saja memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak, malah perlu menerapkan jiwa mereka dengan perasaan ihsan terhadap orang lain.

Pengerusi Pesta Kanak-Kanak Islam Malaysia (MICF) Dayang Lily Maznah Abang Muas berkata, jiwa kanak-kanak perlu diisi dengan nilai kasih sayang yang tinggi sejak kecil bagi membentuk jati diri yang cintakan keamanan apabila dewasa kelak.

Menurutnya, antara usaha yang boleh dilakukan ibu bapa untuk memupuk kesedaran itu adalah dengan memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai program kemanusiaan sejagat.

“Beritahu mereka, betapa bersyukurnya dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana penuh kasih sayang berbanding rakan sebaya yang berada di Syria, Mesir, Rohingya dan sebagainya yang mana hidup terpisah daripada ibu bapa, ahli keluarga selain daif serta dizalimi.

“Anak-anak kita perlu diberi pendedahan mengenai nasib umat Islam lain yang mengalami peperangan dan hidup dalam serba kekurangan supaya perasaan kasih sayang dan ihsan sesama manusia semakin menebal apabila dewasa kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan MICF Ke-5 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Amaxmall.com Datin Dr Nik Sarina Lugman Hashim dan Setiausaha Persatuan Kebajikan AnNajah Selangor (PKAS) Yazman Mat Raschid.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi memupuk nilai kasih sayang dalam kalangan kanak-kanak, MICF menganjurkan projek kebajikan #Teddy4Hugs bermula tahun ini.

“Projek ini menggalakkan kanak-kanak mendermakan mainan mereka seperti teddy bear atau plush toys untuk diagihkan kepada pelarian kanak-kanak Syria di wilayah Idlib.

“Anak-anak kita perlu dididik bahawa kanak-kanak di Syria juga seperti mereka yang dahagakan kasih sayang dan memerlukan perhatian daripada orang lain,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan untuk mengumpulkan 1,000 barangan seperti teddy bear atau plush toys baru dan terpakai yang disumbangkan pengunjung MICF yang berlangsung selama lima hari bermula 26 hingga 30 Julai ini.

Katanya, semua barangan sumbangan itu akan dihantar ke kem pelarian di Idlib, Ogos depan dengan kerjasama PKAS yang sering terbabit dengan misi kebajikan sebelum ini.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 6:40am
d