mutakhir

SPRM siasat pembelian satu lagi hotel FIC di Kuching

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pembelian sebuah lagi hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching, Sarawak.

Sumber berkata, hotel bertaraf empat bintang itu dipercayai dibeli FIC pada harga yang jauh lebih tinggi daripada harga asal.

Menurutnya, siasatan berhubung pembelian hotel itu dibuat susulan siasatan SPRM berkaitan pembelian hotel oleh FIC di London antara 2013 dan 2015.

Katanya, maklumat awal yang diterima oleh pasukan penyiasat menunjukkan pembelian hotel itu mengakibatkan kerugian ratusan jutaan ringgit kepada FIC.

“Pasukan penyiasat kini menilai maklumat yang diterima dan dijangka pergi ke pejabat FIC di beberapa lokasi untuk mendapatkan dokumen dan maklumat berkaitan pembelian hotel itu dalam masa terdekat,” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan pihaknya memulakan proses mengumpul maklumat berhubung pembelian hotel berkenaan.

Beliau berkata, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam proses pembelian.

Pada 22 Julai lalu, dua pengurusan kanan syarikat berasingan direman enam hari bagi membantu siasatan kes pembelian hotel empat bintang di Kensington, London oleh FIC.

Perintah reman ke atas ketua unit harta sebuah syarikat perkhidmatan pos berusia 36 tahun dan pengarah sebuah syarikat perundingan aset berusia 45 tahun itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.

Dua individu itu ditahan di ibu pejabat SPRM sehari selepas hadir memberi keterangan berhubung pembelian hartanah itu pada harga RM330 juta antara 2013 dan 2015.

Mereka disyaki terbabit dalam penilaian harta dan harga bagi pembelian hotel berkenaan menerusi urusan disyaki mengandungi unsur manipulasi harga sehingga FIC terpaksa membayar lebih puluhan juta ringgit.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 6:44am
d