mutakhir

Perbicaraan selama 23 hari [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

KES perbicaraan dua wanita warga asing yang dituduh membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, akan dibicarakan selama 23 hari bermula 2 Oktober depan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Hakim Datuk Azmi Ariffin menetapkan tarikh itu ketika prosiding sebutan kes, hari ini.

Dalam prosiding itu, tiada pengakuan diambil daripada kedua-dua tertuduh, warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, dan ia hanya akan direkodkan pada hari pertama perbicaraan kes itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan pihaknya akan memanggil seramai 30 hingga 40 saksi termasuk 10 saksi pakar bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.

Kedua-dua tertuduh yang masing-masing memakai baju kurung itu dibawa masuk ke dalam kandang tertuduh jam 9.35 pagi.

Pada 1 Mac lalu, kedua-dua tertuduh bersama empat individu lain yang masih bebas didakwa membunuh Jong-nam di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) jam 9 pagi pada 13 Februari lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 10:40am
d