mutakhir

SPRM kumpul maklumat [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengunjungi tiga syarikat pagi tadi bagi mendapatkan maklumat berkaitan kes pembelian sebuah hotel di Kuching oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Tiga pasukan berasingan itu hadir jam 10 pagi bagi mendapatkan maklumat daripada syarikat berkenaan yang terletak di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Jalan Petanak dan Jalan Tun Abang Haji Openg di Kuching.

Difahamkan, dokumen yang diperoleh akan digunakan untuk siasatan lanjut berhubung pembelian hotel berkenaan yang melebihi harga asal.

Menurut sumber, tiga syarikat berkenaan berperanan sebagai 'orang tengah' dalam pembelian hotel bertaraf empat bintang itu.

"Maklumat yang diperoleh dalam siasatan awal membabitkan prosedur pembelian hartanah iaitu hotel dan pangsapuri servis di Kensington, London oleh FIC," katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya berhubung pembelian hotel berkenaan.

Siasatan lanjut mengesan pembelian aset hartanah itu menyebabkan FIC mengalami kerugian ratusan juta ringgit.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 11:10am
d