mutakhir

Pakatan Harapan diminta tukar logo

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

PAKATAN Harapan akan menukar logo seperti digariskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) supaya meletakkan nama penuh dan bukannya perkataan 'Harapan' saja.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara berkenaan adalah hasil pertemuannya bersama pemimpin parti pembangkang lain dengan jabatan itu bagi penyerahan permohonan pendaftaran rasmi Pakatan Harapan.

"Dalam pertemuan itu, pegawai ROS memberi teguran berkenaan logo dan simbol Pakatan Harapan iaitu mereka berpendapat ia tidak sesuai.

"Justeru, mereka memberi panduan iaitu nama penuh Pakatan Harapan diletakkan dan bukannya 'Harapan' saja," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas penyerahan pendaftaran di Ibu Pejabat ROS Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir berkata, pihaknya akan membuat logo dan simbol baharu dalam tempoh dua hari serta mengemukakannya kepada ROS.

Antara yang hadir ialah Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 12:01pm
d